BADAN yang sihat sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kehidupan yang sempurna jika ia tidak diiringi dengan tenaga yang cukup dan gaya pemikiran rasional.

Menyedari hakikat itu, ahli fisioterapi yang juga pakar kesihatan terkenal, Dr. Noordin Darus mengambil inisiatif menulis sebuah buku yang berkisar tentang cara-cara yang efisien dalam menjalani corak hidup sempurna yang boleh dijadikan rujukan kepada orang ramai untuk gaya hidup sihat.

Buku yang diberi tajuk The Art of Total Wellness itu merupakan karya sulung beliau yang bukan hanya menjurus kepada gaya hidup yang sihat tetapi juga menekankan prinsip-prinsip yang diperlukan bagi menjamin satu bentuk kehidupan yang sejahtera.

Menurut beliau, masih banyak anggota masyarakat negara ini yang masih tidak dapat memahami dengan tepat tentang tujuan kehidupan mereka, apatah lagi menghuraikan dengan terperinci fokus utama mereka dalam mencari satu bentuk kehidupan yang harmonis.

“Saya menulis buku ini berdasarkan pemerhatian saya terhadap sikap kita dalam merencana kehidupan seharian yang lebih banyak menyerahkan nasib kepada takdir tanpa berbuat sesuatu untuk mengubah nasib kita menjadi lebih baik.

“Walaupun mengikut ajaran Islam, perjalanan hidup seseorang individu itu sudah ditetapkan sejak azali, namun adalah tidak wajar kita hanya berpeluk tubuh dan menyerahkan segalanya tanpa berbuat apa-apa untuk membentuk satu kehidupan yang lebih baik tarafnya,” katanya di majlis pelancaran buku beliau di sini baru-baru ini.

Jelas Dr. Noordin lagi, tanggapan sedemikian jelas menyalahi firman Allah yang sudah menetapkan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya sendiri.

“Lazimnya, apabila membicarakan soal kesihatan, maka secara tidak langsung kita akan beranggapan bahawa sihat itu ialah apabila kita tidak menghidap sebarang penyakit, sedangkan erti kesihatan sebenar ialah bebas daripada tekanan perasaan, sentiasa berfikiran positif, dan bebas daripada sebarang jangkitan penyakit berbahaya,” tambahnya.

Sehubungan itu, jelasnya lagi, setiap individu harus peka dengan cara-cara yang ditekankan dalam bukunya itu untuk memastikan mereka dapat menjalani bentuk kehidupan yang benar-benar harmonis.

Buku berkenaan dicetak sebanyak 300,000 naskhah sebagai permulaan dan boleh didapati di pasaran dengan harga RM38 senaskhah.

Tambah beliau, buku berkenaan akan diterjemah ke dalam bahasa Malaysia dan usaha mencari penterjemah berkelayakan masih diteruskan.

DR. NOORDIN memperkatakan sesuatu mengenai bukunya.