DARI cita-cita untuk menjadi arkitek yang terpaksa dilupakan, kemudian bergelar seorang doktor perubatan dan psikiatris sebelum beralih kepada doktor sukan di Majlis Sukan Negara.

Cuba berubah angin dengan mencari rezeki dalam sektor swasta, dalam masa yang sama didiagnos menghidap kanser namun berjaya melawan sel ganas itu dan kini bergelar ahli perniagaan berjaya. Semua itu bagi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WorldWellness Network Sdn. Bhd., Datuk Dr. Nordin Darus merupakan takdir hidup yang telah disusun dengan begitu teliti oleh Yang Maha Esa dan pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Berbicara dengan lelaki berusia 56 tahun ini membuatkan sesiapa saja kagum dengan ketabahan yang beliau miliki.

Masakan tidak, pada usia 47 tahun, iaitu sekitar awal April 2001, pengasas mesin terapi air Rx-Water itu disahkan menghidap kanser limfoma atau kanser darah peringkat tiga. Bercerita tentang perasaan yang dialami beliau berkata, sememangnya sukar untuk menerima apatah lagi saat ingin menyampaikan hal itu kepada ahli keluarga lain terutama isteri dan anak-anak.

“Selepas bertemu doktor, sepanjang perjalanan pulang saya menggigil dan bermacam perkara terlintas di fikiran. Bagaimana untuk memberitahu isteri dan anak-anak, bagaimana keadaan mereka andai apa-apa terjadi pada saya nanti?” katanya mengenang detik getir itu. Merebak

Sebelum disahkan menghidap kanser, Dr. Nordin berkata dia sering berasa tidak sihat, demam, pening dan telinganya seperti digenangi air. Lama-kelamaan masalah itu berlarutan sehinggalah ia menjadi pekak.

Setelah menjalani pemeriksaan teliti, doktor mendapati terdapat ketumbuhan dalam hidung dan lebih serius disebabkan kanser darah, maka ia telah merebak ke seluruh tubuh.

“Doktor yang merawat pun dah bagi harapan 50-50 dan mahu pembedahan membuang ketumbuhan dijalankan segera,” kata beliau.

Tanpa berlengah, pembedahan terus dijalankan dan beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi yang cukup memeritkan. Menurutnya, selepas rawatan kali kedua, rambutnya mula gugur dan dia mengalami muntah-muntah yang teruk.

Disebabkan pengambilan steroid untuk menahan sakit selepas rawatan, dia tetap berselera makan dan wajahnya kelihatan berisi sehingga ada yang tidak percaya dia sedang berdepan dengan penyakit yang boleh mengancam nyawa.

“Ketika itu saya sudah mula botak. Jadi bila ada yang bertanya mengapa saya membotakkan kepala, saya hanya bergurau baru pulang dari Mekah,” kata lelaki yang berkebolehan melukis itu.

Penderitaan tersebut membuatkan Dr. Nordin lebih mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku namun berkat pengalaman dalam bidang perubatan menjadikan lelaki tabah ini berupaya mengawal diri melawan sakit tersebut.

Malah dalam keadaan tertentu, ketika menjalani rawatan dia gemar menyangkal sesetengah nasihat yang diberi doktor yang merawatnya.

“Saya cuba mengkaji apa yang sebenarnya terjadi dan kenapa semakin ramai menderita pelbagai jenis penyakit. Akhirnya saya percaya semua itu berpunca daripada air yang kita ambil sehari-hari,” katanya.

Dari situ, berdasarkan pengetahuan yang dimiliki beliau mencipta satu mesin terapi air untuk kegunaan sendiri dan keluarga. Selepas pengambilan berterusan, Dr. Nordin berasa perubahan terhadap dirinya. Pun begitu, dia tetap meneruskan rawatan kemoterapi seperti yang dijadualkan doktor.

Perubahan itu juga disedari doktor yang merawatnya hinggalah dia disahkan bebas dari sel berbahaya itu pada penghujung 2001.

Saudara dan rakan terdekat yang terkejut dengan perubahan dirinya terus bertanya rahsia beliau kembali sihat dan ingin berkongsi rahsia. Mereka juga minta untuk membeli mesin yang beliau cipta sehinggalah beliau membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan Rx-Water bermula sekitar 2002.

“Alhamdulillah, perniagaan kami mendapat sambutan baik daripada semua. Walaupun begitu, pelbagai cabaran telah kami hadapi menjadikan saya semakin kuat serta bersemangat untuk meneruskan hidup. Saya sangat berpuas hati, sekurang-kurangnya kejayaan ini bukan setakat membantu diri sendiri dan keluarga malah menolong orang di luar juga.

“Tekad saya, sebelum menutup mata saya ingin membantu menyembuhkan penyakit sejuta orang dan juga melahirkan sejuta jutawan,” katanya penuh optimis.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=1219&pg=kn_05.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&y=2010#ixzz5d1ez8p5F